Penggunaan akademik moden Zaman Kelam

Apabila kajian ilmiah moden terhadap Zaman Pertengahan muncul pada abad ke-19, istilah "Zaman Kelam" dikekalkan pada peringkat awal, dengan semua nada kritisnya. Walaupun istilah itu tidak digunakan secara formal (universiti-universiti menamakan pusat pengajiannya sebagai "sejarah zaman pertengahan", bukannya "sejarah zaman kelam"), istilah itu digunakan secara meluas, termasuk dalam karya klasik seperti Sejarah Kemerosotan dan Kejatuhan Empayar Rom oleh Edward Gibbon. Dalam klasik tersebut, Gibbon mengutarakan kebenciannya terhadap zaman kelam yang karut dan "dipandu oleh paderi".

Bagaimanapun, awal abad ke-20 memperlihatkan suatu penilaian semula yang radikal terhadap Zaman Pertengahan dan dengan itu, istilah kekelaman dipersoalkan. A.T. Hatto, penterjemah untuk banyak karya Zaman Pertengahan bagi siri Klasik Penguin, merupakan satu contoh apabila beliau berkata dengan penuh ironi tentang "abad-abad cergas dan bersemangat yang kita memanggil kelam". Adalah jelas bahawa cendekiawan-cendekiawan serius harus mentakrif semula istilah itu ataupun menggugurkannya.

Apabila istilah "Zaman Kelam" digunakan oleh ahli-ahli sejarah pada hari ini, istilah itu bertujuan untuk bersifat neutral, iaitu untuk mengungkapkan idea bahawa peristiwa-peristiwa pada zaman itu sering kelihatan "kelam" bagi kita, disebabkan kekurangan rekod-rekod sejarah, berbanding dengan zaman-zaman yang kemudian. Dengan kata yang lain, kekelaman zaman itu adalah pada kita, bukannya pada mereka. Bagaimanapun, oleh sebab tiadanya kekurangan maklumat tentang Zaman Pertengahan Tinggi dan Zaman Pertengahan Akhir, rujukan takrif ini perlu dihadkan kepada Zaman Pertengah Awal. Umpamanya, Britain pada abad ke-5 dan ke-6, iaitu puncak serangan-serangan Saxon dengan ketandusan beritanya, mungkin boleh dianggap sebagai "Zaman Kelam yang paling kelam", berbanding dengan era Rom sebelumnya atau abad-abad yang menyusul. Lebih ke timur, keadaan yang sama terdapat di Dacia, bekas provinsi Rom, ketika sejarah selepas pengunduran Rom tidak dicatat selama berabad-abad kerana orang-orang Slav, Avar, Bulgar, dan orang-orang lain bersaing untuk kekuasaan di lembangan Danube, dengan peristiwa-peristiwa di sana masih dipertikaikan. Bagaimanapun pada masa itu, Empayar Rom Timur dan Kekhalifahan Abbasid sedang mengalami Zaman Keemasan Islam, berbanding kekelaman. Oleh itu, penggunaan istilah harus juga membezakan kawasan geografi. Yang ironiknya, sedangkan konsep Petrarch adalah secocok dengan kebanyakan zaman "Kristian" selepas Rom jahiliah, penggunaan neutral untuk istilah ini pada hari ini menumpukan kepada budaya-budaya yang kurang bersifat "Kristian" dan oleh itu, tidak banyak dikaji oleh ahli-ahli sejarah Gereja.

Bagaimanapun, sejak pertengahan abad ke-20, semakin banyak cendekiawan memulakan kritikan terhadap penggunaan istilah itu, walaupun penggunaan itu tidak bersifat penilaian. Terdapatnya dua kritikan yang utama. Pertama, kemungkinan untuk menggunakan istilah "zaman kelam" dengan maksud yang neutral secara berkesan telah dipersoalkan; cendekiawan-cendekiawan mungkin bertujuan untuk menggunakan istilah itu dengan maksud neutral, tetapi ini tidak semestinya bermakna bahawa pembaca-pembaca biasa akan memahami sedemikian. Kedua, ledakan pengetahuan dan wawasan baru terhadap sejarah dan budaya Zaman Pertengahan Awal yang dicapai oleh kesarjanaan abad ke-20 bermaksud bahawa abad-abad itu tidak lagi kelam dalam erti kata "tidak kita tahu". Oleh itu, banyak penulis akademik langsung tidak hendak menggunakan istilah ini.